23 OKT: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Tawau dan Kuarters Penjara Taman Ehsan, Tawau yang bermula pada 11 September lalu akan ditamatkan pada 25 Oktober ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga 21 Oktober lalu, Kementerian Kesihatan telah membuat 1,250 saringan di Penjara Tawau manakala 1,196 saringan kakitangan di kuarters Taman Ehsan.
Menurut beliau, sehingga kini, tiada lagi kes aktif direkodkan di Penjara Tawau manakala hanya dua kes di Kuarters Penjara Taman Ehsan dan sedang menerima rawatan.
“Sehubungan itu, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Penjara Tawau dan Kuarters Penjara Taman Ehsan Tawau pada 25 Oktober 2020 seperti mana yang telah dijadualkan.
“Walau bagaimanapun, lokaliti ini masih tertakluk di bawah pelaksanaan PKPB bagi seluruh negeri Sabah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri memberitahu, PKPD di Penjara Pokok Sena, Kedah yang bermula pada 11 Oktober lalu akan dilanjutkan selamat 14 hari lagi sehingga 7 November.
Beliau menambah, saringan oleh Kementerian Kesihatan sehingga 22 Oktober lalu mendapati masih terdapat kes positif dalam kalangan banduan dan kakitangan penjara tersebut.
“Pelanjutan ini bagi memastikan rantaian COVID-19 diputuskan sepenuhnya di dalam Penjara Pokok Sena terutamanya dalam kalangan kakitangan,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN