23 OKT: UMNO Selangor menyifatkan gencatan politik yang diumumkan oleh Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai tindakan yang tepat pada masanya.
Pengerusimya, Tan Sri Noh Omar berkata, pihaknya menyokong sepenuhnya gencatan politik disebabkan ketika ini negara menghadapi cabaran pandemik Covid-19 dan bukan masanya untuk berpolitik.
Malah, pihaknya mengharapkan agar program-program politik ini mestilah dikurangkan seperti yang dimahukan oleh rakyat.
“Saya sebagai Pengerusi UMNO Selangor amat menyokong kenyataan Presiden. Kita tahu ramai yang terjejas dan terkesan termasuk pekerja dan peniaga, di mana rakyat kini berada dalam keadaan yang kurang selesa.
“Ertinya UMNO dan Barisan Nasional seperti mana yang Presiden kata, kena berikan sokongan penuh kepada kerajaan bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin ini kerana kerajaan Perikatan Nasional (PN) ini akan dapat menumpukan sepenuh masa bagaimana untuk memulihkan semula ekonomi negara,” katanya pada sidang media di Bangunan UMNO Selangor.
Dalam pada itu, Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang memberitahu, pelbagai inisiatif baharu dapat diperkenalkan sekiranya suasana politik negara berada dalam keadaan stabil.
“Sekiranya suasana politik yang tenang, maka kerajaan dapat menumpukan sepenuhnya dalam usaha mengatasi Covid-19 dan pada masa sama memperkenalkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang baru untuk membantu rakyat.
“Kalau kerajaan ini tidak stabil bukan sahaja pelabur luar negara malah pelabur dalam negara pun akan takut dengan situasi tidak menentu ini,” katanya.
Dalam pada itu, Noh turut menjelaskan bahawa usaha untuk memastikan ekonomi terus mampan dapat dilakukan sekiranya kerajaan sentiasa kukuh.
“Sebab tu dalam keadaan negara berdepan masalah Covid-19 ini, ekonomi kita pun turut tertekan maka kita kena kurangkan berpolitik.
“Kita kena kuatkan kerajaan kita supaya dapat meyakinkan pelabur-pelabur untuk membantu meningkatkan pencapaian ekonomi dalam negara kita,” katanya.