24 OKT: Majlis Raja-Raja Melayu dijangka akan mengadakan mesyuarat khas di Istana Negara esok bagi membincangkan cadangan-cadangan yang dipersembahkan oleh kerajaan khususnya berkaitan langkah mengekang penularan pandemik COVID-19.
Memetik laporan Astro Awani, sumber berkata, mesyuarat yang dijadualkan bermula jam 2.30 petang itu hanya melibatkan Majlis Raja-Raja tanpa kehadiran Yang Dipertua Negeri atau ahli politik.
Sumber itu menambah, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mempunyai hak untuk mengisytiharkan darurat namun perkara itu akan dibincangkan bersama Raja-Raja Melayu.
Difahamkan, sekurang-sekurangnya enam Sultan sudah mengesahkan keberangkatan baginda dan dijangka kesemua Raja-Raja Melayu akan berkenan berangkat menghadiri mesyuarat tersebut.
Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diperkenankan menghadap Seri Paduka di Istana Abdul Aziz, Kuantan bagi mempersembahkan beberapa cadangan termasuk langkah berkaitan situasi COVID-19.