24 OKT: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menekankan keperluan untuk mewujudkan Pelan Jangka Masa Sederhana-Panjang dengan lebih terperinci bukan sahaja untuk memastikan kelangsungan hidup rakyat dan ekonomi negara, tetapi juga untuk menangani keresahan rakyat.
Beliau membangkitkan perkara tersebut ketika mempengerusikan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara berkenaan COVID-19 secara maya hari ini.
Muhyiddin menyedari keresahan rakyat menghadapi situasi pandemik COVID-19 pada masa ini masih belum reda menyebabkan kebergantungan kepada kerajaan semakin tinggi.
Mengakui senario menguruskan COVID-19 sekarang telah berubah, Perdana Menteri mengajak semua ahli mesyuarat untuk lebih fokus dalam usaha memerangi COVID-19 dan mesti membuktikan pada tahap ini, Malaysia pasti akan menang melawan COVID-19.
Beliau turut mengingatkan ahli mesyuarat supaya lebih teliti dalam membuat keputusan untuk menguruskan COVID-19 dengan lebih berkesan.
Menurutnya, setiap keputusan yang dibuat mestilah difahami manfaat, risiko dan kesannya kepada kesihatan dan ekonomi rakyat.
Mesyuarat harian yang diadakan secara sidang video itu telah bermula sejak 7 Oktober lalu.