25 OKT: Titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini yang menolak cadangan darurat oleh kerajaan sangat menyeluruh dengan rakyat dan negara jelas menjadi keutamaan Seri Paduka dan Raja-Raja Melayu.
Jalan bagi mencapai matlamat tersebut adalah melalui kestabilan politik.
Sebab itu, dititahkan seluruh ahli politik memberhentikan segera segala politiking yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.
Dalam berdepan ancaman COVID-19, Baginda nyata berpuas hati dan menaruh keyakinan terhadap kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yasin mendepani pandemik tersebut.
Malah, kerajaan hari ini telah melakukan terbaik hinggakan berjaya menguruskan dengan cemerlang ketika gelombang pertama dan kedua.
Sebab itu, tidak hairan ada yang membayangkan bagaimana agaknya negara hendak mengharungi pandemik ini andai Pakatan Harapan (PH) masih di tampuk kuasa?
Masih belum lupa wajah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Nor Hisham Abdullah mengerut dahi ketika sidang akhbar seorang menteri PH Februari lalu.
Cuma dalam berdepan gelombang ketiga, fokus kerajaan terganggu akibat angkara pihak tertentu yang bercita-cita mengambil alih jawatan Perdana Menteri.
Ternyata, impian individu itu sangat merimaskan bagi sebahagian besar rakyat, namun beliau tidak pernah peduli negara sedang berdepan wabak Covid-19.
Namun, untuk buat sekali ini fahamilah. Seri Paduka telah bertitah “bahawa tiada perlunya Ahli-ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan kerajaan sedia ada.”
Bagi orang yang seperti itu, jadilah pemimpin sebenar yang sentiasa meletakkan rakyat dan negara mengatasi cita-cita peribadi.
Dan menanti ahli-ahli politik ini adalah pembentangan Belanjawan 2021 – yang telah dititahkan oleh Seri Paduka sebagai amat penting kepada rakyat di dalam menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.
“Justeru, peruntukan kewangan amat diperlukan oleh petugas barisan hadapan bagi melancarkan tugas dan tanggungjawab mereka,” kata kenyataan Istana Negara itu.
Sehubungan itu, adakah pihak terbabit masih mahu melakukan sesuatu yang membelakangi kepentingan rakyat hanya kerana ada agenda peribadi yang belum dilunaskan?
Seharusnya jangan, titah Yang di Pertuan Agong sangat jelas. Jika ‘terlupa’, hayati kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara petang Ahad:
“Seri Paduka menyeru seluruh rakyat, tanpa mengira latar belakang dan khususnya fahaman politik, mengenepikan segala perbezaan dan perbalahan untuk bersatu padu dan bersatu hati memainkan peranan masing-masing dalam membantu Kerajaan dan pihak-pihak berkuasa membendung wabak COVID-19 demi keselamatan diri dan kesejahteraan negara yang kita cintai bersama ini.”
Kini, rakyat akan melihat adakah mana- mana ahli politik yang akan membelakangi titah tersebut atau akan akur supaya kerajaan sedia ada meneruskan tugas sehingga diberi mandat baru pada PRU 15.