25 OKT: Semua pihak harus memberi ruang kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu untuk membincangkan cadangan daripada pihak Kabinet, kata Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd Rafiq Naizamohideen.
Beliau berkata, sehubungan itu, pemimpin politik perlu menghentikan segera kempen berbaur hasutan untuk memberi tekanan kepada Majlis Raja-Raja Melayu.
Katanya, ini dengan harapan keputusan yang bakal diputuskan kelak akan memihak kepada agenda dan kepentingan politik pihak terlibat.
“Saya yakin, Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu akan membuat keputusan yang terbaik dengan mengambil kira kepentingan rakyat Malaysia sebagai asas pertimbangan utama tanpa tunduk dengan tekanan mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan.
Majlis Raja-Raja Melayu dijadualkan bermesyuarat petang ini di Istana Negara bagi membincangkan perkembangan semasa termasuk cadangan pihak kerajaan yang telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Ini khususnya berkaitan langkah mengekang penularan pandemik COVID-19 yang mana semalam sahaja kes baru mencatatkan empat angka buat kali pertama sejakvirus itu dilaporkan awal tahun ini.