25 OKT: Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) mengesahkan seorang kakitangannya yang bertugas di bahagian operasi MRT laluan Kajang disahkan positif COVID-19.
Menurut kenyataan Rapid Rail, petugas berkenaan yang berkhidmat sebagai pengendali tren, masih bekerja sehingga 21 Oktober lalu.
Justeru, Rapid Rail yang juga operator untuk MRT Laluan Kajang melaksanakan kerja-kerja disinfektasi dan pembersihan, khususnya di ruang digunakan petugas berkenaan, malam tadi.
“Petugas terbabit sudah dikuarantin di Hospital Sungai Buloh manakala proses disinfektasi dilaksanakan dengan berpandukan garis panduan ditetapkan Kementerian Kesihatan.
“Semua tren dan koc sudah ditetapkan perlu menjalani kerja pembasmian kuman dan pembersihan setiap malam selepas operasi pada hari berkenaan,” kata kenyataan itu hari ini.
Berikutan itu, semua petugas lain yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit terbabit diminta menjalani ujian saringan dan melakukan kuarantin kendiri selama 14 hari, seperti ditetapkan prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Semua agensi berwajib termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Pengangkutan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) turut dimaklumkan mengenai segala langkah diambil,” katanya.