25 OKT: Raja-Raja Melayu menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas sifat baginda memilih untuk melakukan rundingan dan konsultasi sebelum memberi perkenan serta menzahirkan keputusan menyentuh perkara penting.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dalam satu kenyataan yang dikeluarkan dengan titah perkenan Raja-Raja, memaklumkan semangat itu adalah selaras dengan budaya syura yang sangat dianjurkan Islam ketika ummah menghadapi sesuatu persoalan yang memerlukan penyelesaian.
Semua Sultan dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan serta Pemangku Sultan Pahang hadir kecuali Sultan Kelantan.
Mesyuarat berkenaan diadakan susulan keputusan mesyuarat Kabinet yang memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat berdasarkan Perkara 150 Perlembagaan Malaysia.
Menurut Syed Danial, berpandukan prinsip Raja Berperlembagaan – Demokrasi Berparlimen, di samping memahami keseriusan implikasi permohonan itu kepada imej negara, pandangan dunia antarabangsa, keyakinan pelabur dalam dan luar negara, serta aspek kemakmuran dan kehidupan rakyat, baginda dengan penuh kearifan serta bijaksana berpendirian amat penting perkara itu dibincang secara bersama dengan Raja-Raja.
“Dalam perjumpaan itu, Raja-Raja mencambahkan pandangan dan menzahirkan pendapat secara terbuka dan berterus-terang dalam semangat saling menghormati supaya dapat dijadikan bahan panduan dan rujukan membantu baginda membuat ketetapan.
“Raja-Raja berpendirian pentingnya dihormati mekanisme semak dan imbang antara pelbagai cabang kerajaan dan peranan baginda untuk mengimbangkan pelbagai tuntutan demi berlakunya keadilan dan membatasi sebarang unsur penyalahgunaan kuasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini, malam ini.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan Mesyuarat Raja-Raja Melayu yang diadakan di Istana Negara hari ini.
Dalam pada itu Syed Danial berkata, Raja-Raja turut menegaskan pentingnya prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen diterjemahkan melalui budaya pada pemerintahan yang setiap masa meluhurkan Perlembagaan, mendaulatkan undang-undang dan mengutamakan kebajikan rakyat.