26 OKT: Sebanyak 36 kluster melaporkan kes baru COVID-19 di seluruh negara termasuk tiga kluster baru yang dikesan di Sabah, Negeri Sembilan dan Perak.
Tertinggi ialah kluster Penjara Kepayan di Kota Kinabalu, Penampang dan Papar yang melaporkan 439 kes diikuti Penjara Seberang Perai, Pulau Pinang melibatkan 57 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiga kluster baru yang dikesan itu ialah di Kudat, Sabah yang dinamakan sebagai Kluster Kapor.
Katanya, ia membabitkan saringan dalam komuniti pelaut yang menetap di Kampung Tanjung Kapor dan sehingga kini sudah menjangkiti 46 individu.
“Kluster kedua ialah Kluster Hampar yang dikesan di daerah Rembau, Negeri Sembilan yang kini sudah menjangkiti lima individu. Bagi kluster ketiga, ia dikesan di daerah Batang Padang, Perak.
“Kluster ketiga ini dikenali sebagai Kluster Penjara Tapah, seramai 11 individu dikenal pasti positif COVID-19 dalam kluster ini dan kesemua mereka dikesan hasil saringan yang dijalankan di Penjara Tapah pada 12 Oktober lalu,” katanya pada sidang media harian COVID-19, di Putrajaya hari ini.
Sementara itu, katanya, beberapa kluster di Selangor terus melaporkan kes baru antaranya Kluster Utama di daerah Petaling yang melaporkan sembilan kes melibatkan individu di Selangor, Melaka dan Kuala Lumpur.
Ujar beliau, ini menjadikan jumlah kes kumulatif daripada kluster berkenaan yang melibatkan sebuah pusat beli-belah itu kini menjadi sebanyak 226 kes.
“Turut melaporkan kes yang tinggi hari ini ialah Kluster Jaya dengan 46 kes melibatkan Negeri Sembilan dan Selangor.
“Kluster Hentian di Hulu Langat pula melaporkan 13 kes yang menjadikan kes keseluruhan sebanyak 78 yang melibatkan Selangor dan Kuala Lumpur,” ujarnya. -Oleh M. HERMAN HAMID