26 OKT: Ahli-ahli politik di negara ini mengambil pengajaran dan memahami maksud tersirat titah Yang Dipertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah agar dihentikan segera segala politiking yang boleh membinasakan negara dan menyusahkan rakyat.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata mereka harus menghentikan segala percaturan politik merebut kuasa dan jawatan Perdana Menteri buat sementara waktu sehingga selesai pertarungan rakyat menghadapi pandemik COVID-19 dan kegawatan ekonomi.
“Perdana Menteri memanggil semua presiden parti politik sama ada kerajaan mahupun pembangkang bagi diadakan rundingan prapersidangan Parlimen bagi memastikan Belanjawan 2021 kelak diluluskan demi kesejahteraan rakyat.
“Libatkan wakil-wakil semua parti-parti tidak kira kerajaan dan pembangkang untuk berada dalam jawatankuasa khas bagi membantu menangani isu-isu berkaitan pandemik COVID-19 dan dampak negatif yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan melalui Facebook, hari ini.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk Seri Paduka mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, kendatipun begitu, Seri Paduka ingin mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala politiking yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.
Menurut Ahmad Fadil, Al-Sultan Abdullah turut berpendapat bahawa tiada perlunya Ahli-ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan kerajaan sedia ada.
Dalam pada itu, Asyraf berkata rundingan bipartisan (kerajaan dan pembangkang) boleh diadakan secara berkala bagi bagi memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi.
“Ini dapat memfokuskan segala agenda untuk membantu rakyat yang dalam keresahan akibat kesan kegawatan ekonomi yang makin meruncing.
“Parlimen Batu Sapi dikekalkan status quo sebagai kerusi Parti Warisan tanpa perlu ditandingi oleh mana-mana parti politik dalam Pilihan Raya Kecil yang tidak boleh dielakkan sebagaimana peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH