26 OKT: Tidak timbul isu bubar Parlimen atau perbincangan mengenai perubahan tampuk pimpinan kerajaan dalam mesyuarat tergempar Barisan Nasional (BN) di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.
Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, mesyuarat tersebut hanya untuk mendapatkan pandangan Ahli-ahli Parlimen dari parti itu mengenai isu politik semasa tanah air.
“Hanya memberi pandangan mengenai titah Yang di-Pertuan Agong yang berpendapat tiada keperluan lakukan darurat.
“Tiada timbul isu bubar Parlimen dan tidak timbul juga Perdana Menteri letak jawatan walaupun ada perbincangan.
“Kita sokong apa dilakukan oleh Perikatan Nasional (PN) yang merupakan keputusan yang bijak,” katanya kepada pemberita.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk Seri Paduka mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata, kendatipun begitu, Seri Paduka ingin mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala politiking yang boleh menggangu kestabilan pemerintahan negara.
Menurut Ahmad Fadil, Al-Sultan Abdullah turut berpendapat bahawa tiada perlunya Ahli-ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan kerajaan sedia ada.
Dalam pada itu, Pengerusi Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu UMNO dan BN perlu bertindak secara satu blok.
“Petang ini sekadar pandangan fikiran Ahli-Ahli Parlimen BN dan kita sebagai ahli parti hanya tertakluk pada keputusan parti.
“Macam mana pun, UMNO tak boleh berpecah, kena bertindak sebagai satu blok dan inilah pandangan yang didokong oleh semua pihak,” katanya.
Sementara itu, Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan pertemuan tersebut bagi membincangkan tentang pembangunan Malaysia.
“Apa yang kita buat, kita buat yang terbaik buat rakyat dan negara.
“Ini seperti titah Seri Paduka yang mahukan Ahli-Ahli politik memfokuskan pembangunan negara ketika ini,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH