26 OKT: Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menafikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memanipulasikan data pandemik COVID-19 yang dilaporkan pihaknya.
Beliau berkata, data COVID-19 dikumpulkan KKM sehingga 12 tengah hari setiap hari menggunakan sistem informasi maklumat kesihatan awam di setiap negeri.
”Ia bukan dilakukan oleh saya seorang tetapi bersama pasukan sebalik tabir dari hari pertama (kes COVID-19).
“Janganlah bila sifar (kes COVID-19) dicatatkan data itu diterima. Tetapi bila 1,000 kes dicatatkan ada pihak yang tidak terima data tersebut,” katanya menjawab soalan pemberita pada sidang media perkembangan terkini COVID-19 di KKM, Putrajaya hari ini.
Dr Noor Hisham berkata perbincangan turut dilakukan dalam menentukan kluster sesuatu kes.
Malaysia hari ini mencatatkan 1,240 kes baharu positif COVID-19, angka tertinggi sejak wabak itu mula dilaporkan awal tahun ini.
Ini merupakan kali kedua Malaysia mencatatkan kes positif baharu mencecah empat angka selepas mencatatkan 1,228 kes baharu kelmarin.
Sementara itu, kata Noor Hisham, sistem kesihatan di Sabah masih mempunyai kapasiti dan KKM sudah menangani pelbagai keperluan termasuk membabitkan peralatan bantuan pernafasan dan peralatan perlindungan peribadi (PPE).
Beliau berkata, perkara yang paling penting ialah penyelarasan dan peruntukan selain kerajaan sudah menyalurkan lebih RM30 juta peruntukan kecemasan untuk memperkukuh sistem kesihatan di Sabah.
Katanya, beliau hairan mengapa banyak pihak gemar percaya kepada persepsi negatif sedangkan fakta dan angka yang ada menunjukkan perkara sebaliknya.
“Sistem kesihatan di Sabah masih lagi mempunyai kapasiti (berfungsi) justeru tidak benar dakwaan sesetengah pihak itu kerana apa yang dimaklumkan adalah maklumat terkini.
“Kami juga akan meningkatkan aktiviti pengesanan dan intervensi kesihatan awam di Sabah. Tidak benar bahawa sistem kesihatan di Sabah semakin lumpuh tetapi kami mengakui bahawa situasi ketika ini lebih sukar dan mencabar,” ujarnya.