27 OKT: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dikuatkuasakan di empat lokasi di Kajang, Selangor dan satu lokasi di Kuching, Sarawak mulai esok hingga 10 November ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD di Kajang melibatkan Flat Sungai Emas, Jalan Emas 31, Jalan Emas 32 dan Plaza Hentian Kajang manakala di Kuching pula membabitkan Kampung Haji Baki.
Menurut beliau, langkah itu diambil ekoran peningkatan kes positif COVID-19 di kawasan-kawasan berkenaan.
“Bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), pihak berkuasa tempatan dan pegawai yang diberi kuasa, akan mengawal seluruh kawasan terlibat,” katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan, hari ini.
Ismail Sabri menambah, semua penduduk dikehendaki mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan antaranya:
• Semua penduduk di kawasan terlibat tidak dibenarkan keluar daripada kawasan PKPD.
• Bagi kes kecemasan seperti sakit dan kematian, mereka dibenarkan untuk keluar dari zon tetapi perlu mengemukakan permohonan pergerakan kepada PDRM.
• Semua sekolah, masjid dan rumah ibadat lain ditutup sepanjang tempoh ini.
• Semua sektor ekonomi tidak dibenarkan beroperasi
• Aktiviti sukan, rekreasi, sosial dan budaya adalah tidak dibenarkan.
• KKM akan melakukan saringan secara bersasar kepada penduduk yang terlibat.
• Bekalan makanan akan diagihkan dan dikoordinasi oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menambah, PKPD di Penjara Reman dan Kuarters Reman Pulau Pinang dilanjutkan selama 14 hari lagi mulai 29 Oktober hingga 11 November ini. – Oleh HUSSAINI AMRAN