27 OKT: Malang menimpa seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dari Texas, Amerika Syarikat apabila dia mati akibat tertembak diri sendiri.
Lebih menyayat hati, tragedi itu berlaku pada majlis sambutan hari jadinya.
Memetik laporan AFP, mangsa terjumpa sepucuk pistol yang tercicir dari poket salah seorang saudaranya yang menghadiri majlis berkenaan.
Ketika keluarganya dan sahabat-sahabat mereka bermain kad dalam majlis sambutan hari jadi itu, mereka terdengar bunyi tembakan.
Kemudian, mereka menemukan kanak-kanak terbabit bersama pistol milik saudaranya.
Mangsa yang cedera parah pada bahagian dada segera dibawa ke sebuah stesen bomba.
Walau bagaimanapun, dia tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia di situ.
Polis mengesahkan pistol yang digunakan mangsa tercicir dari poket salah seorang saudaranya.