27 OKT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menyelamatkan 121 kru kapal Dayang Topaz diselamatkan, manakala seorang meninggal dunia dan empat lagi hilang dalam kejadian kapal karam, 7.7 batu nautika dari Kuala Baram, Miri, Sarawak hari ini.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, Pusat Koordinasi Mencari dan Menyelamat (MRCC) Putrajaya menerima aduan daripada kapal Sapura Construction yang melaporkan isyarat kecemasan daripada kapal, 6.45 pagi tadi.
Katanya, kapal Sapura Construction bergerak ke lokasi untuk mengesan lokasi sebenar kapal Dayang Topaz dan mendapati kapal berkenaan mula karam dengan 62 kru masih berada di atas kapal, manakala 125 kru lagi terjun ke laut.
Katanya, tiga kapal dan sebuah bot APMM berpangkalan di Miri digerakkan ke lokasi berkenaan bersama tujuh kapal dan bot milik syarikat Petronas dan Shell.
“Seramai 121 kru berjaya diselamatkan, seorang meninggal dunia dan empat lagi hilang dalam operasi menyelamat pada 8.45 pagi ini,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.
Katanya, pihak MRCC Putrajaya kini sedang melaksanakan koordinasi lanjut bagi mencari dan menyelamat empat kru hilang dan punca kejadian masih dalam siasatan. – Oleh HAIKA KHAZI