27 OKT: Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di Kota Kinabalu, hari ini.
Majlis angkat sumpah di hadapan Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M. Yahya itu berlangsung pada pukul 11.20 pagi tadi.
Hajiji yang juga ADUN Sulaman mengangkat sumpah hari ini selepas tidak dapat hadir dalam majlis sama yang diadakan pada 9 Oktober lalu kerana sedang menjalani kuarantin kendiri selama dua minggu setelah terdedah kepada individu didapati positif COVID-19.
Memetik laporan Bernama, turut mengangkat sumpah hari ini ialah ADUN Sulabayan, Datuk Jaujan Sambakong; serta dua lagi ADUN Dilantik iaitu Datuk Yong Teck Lee dan Datuk Amisah Yassin.
Bagaimanapun, ADUN Bugaya, Manis Muka Mohd Darah tidak dapat hadir kerana masih menjalani tempoh kuarantin di hospital.
Sebelum ini, seramai 70 ADUN dan empat ADUN Dilantik mengangkat sumpah.
DUN Sabah mempunyai 73 ADUN dipilih dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 Sept lepas, dan enam ADUN Dilantik.