27 OKT: Hamas mengecam perjanjian antara Sudan dan Israel bagi memulihkan hubungan kedua-dua negara sebagai bukti yang menunjukkan negara-negara Arab tidak menghiraukan kesedaran dan sejarah bangsa mereka.
Memetik laporan Palestinian Information Center, Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haneyya berkata, gerakan pembebasan Palestin itu yakin bahawa perjanjian tersebut tidak mencerminkan pendirian sebenar rakyat Sudan terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Beliau juga menghargai pendirian rakyat Sudan yang menolak perjanjian dengan rejim Zionis Israel itu, sambil menambah bahawa langkah berkenaan tidak dapat mengubah peta rantau berkenaan mengikut kehendak Israel.
“Peta serantau dilukis oleh mereka yang berpegang teguh terhadap pendirian masing-masing dan hak kami di Palestin serta enggan mengiktiraf entiti Zionis yang masa depannya akan menjejaskan hak bangsa kami di bumi Palestin,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ismail turut meluahkan kemarahan Hamas terhadap kebiadaban kerajaan Perancis dalam isu penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW.
Beliau juga kesal dengan penglibatan pemimpin Perancis dalam menghina Islam dan mencetuskan kebencian, kemarahan dan keganasan terhadap umat Islam.
Ismail menegaskan bahawa sikap Perancis itu membelakangkan amalan tolerasi dan kewujudan bersama dalam kalangan masyarakat dunia.