27 OKT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan siasatan dalaman berhubung kes dua beradik dan seorang wanita disyaki melarikan sebuah kereta peronda (MPV) model Honda Civic 1.8S dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, Pulau Pinang, Sabtu lepas.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Zamri Yahya berkata, JIPS akan menyiasat pelbagai sudut termasuk kemungkinan anggota yang bertugas cuai dalam membenarkan suspek membawa kereta berkenaan untuk pemeriksaan.
“Kes ini melibatkan dua orang awam lelaki menyamar sebagai anggota polis dari Bukit Aman untuk membuat pemeriksaan sistem kamera pada kereta peronda berkenaan.
“Anggota yang bertugas percaya dan membenarkan mereka buat pemeriksaan sebelum melarikan kereta itu,” katanya kepada Bernama.
Pada 25 Oktober lepas, polis telah menahan dua beradik dan seorang wanita disyaki terlibat melarikan kereta pasukan PDRM dari IPD Seberang Perai Utara, selepas kenderaan itu ditemukan di Shah Alam.