27 OKT: Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, mengesahkan penahanan suspek utama kes pengubahan wang haram yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum melarikan diri pada 11 Oktober lalu, berjaya diberkas di sebuah pusat peranginan di Pahang, awal pagi tadi.
Suspek dikenali sebagai Alvin Goh, ditahan kira-kira jam 1.30 pagi oleh pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Seorang wanita dipercayai warga asing turut ditahan bersama Alvin dalam serbuan berkenaan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata suspek yang juga koordinator kepada aktiviti Macau Scam di negara China ditahan selepas pihaknya menjalankan risikan bagi mengesannya sejak 12 Oktober lalu.
“Alvin ditahan pada jam 1.20 pagi bersama wanita warga asing dipercayai kekasihnya oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di luar Lembah Klang.
“Dia kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 117,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Beliau berkata, pihaknya percaya Alvin sebelum ini sering berpindah dari satu ke satu lokasi lain bagi mengelakkan dirinya dikesan pihak polis.
“Kita juga akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti bagaimanakah dia dapat melarikan diri termasuk dakwaan kononnya dibantu pihak tertentu,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan PDRM memberi amaran tidak akan melepaskan mana-mana individu yang menjadi suspek kes sindiket Addy Kanna berkaitan penipuan Macau Scam, perjudian dalam talian dan pelaburan mata wang asing atau Forex yang ditahan baru-baru ini.
Berikutan itu Huzir berkata, tiga suspek kes berkenaan termasuk lelaki dikenali sebagai Addy Kanna kini ditahan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) manakala seorang suspek dikenali sebagai Goh Leong Yeong@Alvin sedang dikesan polis.
“Saya ingin menegaskan hasil siasatan ke atas kes Addy Kanna ini kita berjaya membongkar aktiviti penipuan (scam), perjudian secara online, serta penipuan pelaburan Forex.
“Jadi apa yang dilaporkan akhbar semalam ada sedikit kekeliruan dan kita akan pastikan semua ahli sindiket ini akan terus ditahan.
“Kita akan jalankan siasatan lanjut terhadap sindiket Addy Kanna secara telus, teliti dan menyeluruh kerana ia membabitkan aktiviti promosi perjudian online, Macau Scam dan penipuan Forex.
“Justeru PDRM tidak akan membebaskan sewenang-wenangnya akan membebaskan kesemua suspek dan ahli sindiket berkenaan,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, baru-baru ini.
Berikutan itu Huzir berkata polis akan memohon kepada mahkamah untuk menyambung tempoh reman mengikut Seksyen 4(2)(a) Akta Pencegahan Jenayah ke atas tiga suspek terbabit selama 38 lagi selepas tempoh tahanan sedia ada selama 21 hari tamat nanti. – Oleh HAIKA KHAZI