27 OKT: PAS menzahirkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus menerajui kerajaan.
Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan turut menyatakan sokongan kesemua 18 Ahli Parlimen PAS bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang prihatin serta bertindak memastikan keselamatan, kehidupan ekonomi serta ketenteraman negara dan rakyat terjamin.
“PAS menjunjung kasih ke hadapan Yang di-Pertuan Agong atas kebersamaan Seri Paduka dengan kerajaan dalam usaha gigih menguruskan dan menangani penularan pandemik COVID-19 yang menjejaskan kehidupan rakyat jelata.
“Justeru, PAS juga menzahirkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Perdana Menteri sekali gus mempertegaskan sokongan kesemua 18 Ahli Parlimen PAS bersama Kerajaan Perikatan Nasional yang prihatin serta bertindak memastikan keselamatan, kehidupan ekonomi serta ketenteraman negara dan rakyat terjamin,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Pada masa yang sama, Takiyuddin berkata PAS menyeru seluruh rakan-rakan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk terus istiqamah mempertahankan kepimpinan Perdana Menteri dan Kerajaan PN yang dibina bersama di atas keruntuhan Pakatan Harapan (PH).
“Marilah kita seluruh rakyat Malaysia berdoa serta memohon perlindungan berterusan daripada Tuhan supaya dihapuskan wabak COVID-19 dengan segera dan negara kita kembali selamat, aman dan bersatu padu,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI