27 OKT: Semua pemimpin pembangkang tidak sepatutnya mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan selepas Yang di-Pertuan Agong menitahkan tiada keperluan untuk mengisytiharkan daruat bagi mengawal penularan COVID-19.
Timbalan Ketua Menteri I Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pembangkang tidak wajar ‘menangguk di air yang keruh’ dengan menjadikan situasi itu untuk menyingkirkan Muhyiddin atas alasan moral.
Sebaliknya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag tu berkata, pemimpin pembangkang perlu berjiwa besar meletakkan kepentingan negara sebagai paling utama termasuk menyokong Bajet 2021 yang akan dibentangkan di Parlimen bulan depan.
“Jika pembangkang menghormati titah Yang di-Pertuan Agong, mereka perlu ikhlas dan berjiwa besar termasuklah menyokong Bajet 2021 yang akan dibentangkan pada 6 November ini demi kepentingan negara dan rakyat.
“Dalam situasi sekarang tiada keperluan untuk Perdana Menteri berundur kerana kepemimpinan beliau diperakui Yang di-Pertuan Agong dalam mengemudi negara menghadapi cabaran semasa terutama penularan COVID-19.
“Tuntutan beberapa pihak yang meminta Muhyiddin meletakkan jawatan atas alasan moral hanya untuk memuaskan nafsu mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kelmarin, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyatakan tiada keperluan untuk baginda mengisytiharkan darurat di Malaysia atau mana-mana bahagian di dalam negara.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, Seri Paduka mempercayai keupayaan kerajaan sedia ada untuk melaksanakan dasar dan tindakan memerangi COVID-19.
Mengulas lanjut, Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, tindakan mendesak Muhyiddin meletak jawatan tidak menjamin kemelut politik negara akan berakhir, sebaliknya dibimbangi menjadi lebih bercelaru.
“Kita tidak menolak wujudnya beberapa kelemahan tapi ia masih boleh dibaiki berbanding dengan apa yang ditunjukkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah selama 22 bulan sebelum ini,” katanya.
Sehubungan itu, Bung Moktar mengajak rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik untuk menghomati keputusan Yang di-Pertuan Agong supaya kestabilan dan keamanan negara terus terpelihara terutama dalam menangani COVID-19.