28 OKT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan ada dalam kalangan penghuni Plaza Hentian Kajang sudah melarikan diri lebih awal sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikuatkuasakan di kawasan terbabit, mulai jam 12 tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, polis kini melancarkan gerakan untuk mengesan individu berkenaan bagi membolehkan tindakan lanjut diambil terhadap mereka.
Mohd Zaid berkata pihak kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab terbabit kerana ia boleh meningkatkan risiko jangkitan COVID-19 di lokasi lain.
“Kita berharap kira-kira 7,500 penduduk dan pekerja yang tinggal dalam kawasan PKPD Plaza Hentian Kajang dapat memberikan kerjasama sepenuhnya dan tidak cuba ‘curi’ keluar atau melarikan diri dari kawasan ini.
“Tindakan ini perlu supaya kita dapat sama-sama memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 daripada merebak ke tempat lain,” katanya ketika dihubungi PNBBC Portal, hari ini.
PKPD Plaza Hentian Kajang dilaksanakan ekoran terdapat 63 kes positif COVID-19 dilaporkan dikesan kawasan terbabit sehingg mewujudkan Kluster Hentian.
Terdahulu, kerja-kerja pemasangan kawat berduri mula dijalankan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) jam 9 malam dan berakhir pukul 12.30 tengah malam tadi.
Berikutan itu, ATM memasang kawat berduri di kawasan seluas tiga kilometer persegi bagi mengelakkan penduduk cuba keluar daripada sekatan.
Dengan pelaksanaan PKPD di Plaza Hentian Kajang ini, kesemua penduduk di sini tidak dibenarkan keluar rumah sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.
Bagi bukan penduduk dan pelawat pula, mereka tidak dibenarkan masuk ke kawasan tersebut sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan manakala semua aktiviti perniagaan di Plaza Hentian Kajang dihentikan.
Semasa pelaksanaan PKPD, makanan asas yang mencukupi untuk tempoh 14 hari akan dibekalkan kepada semua penduduk oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Pada masa sama, kerajaan turut melaksanakan PKPD di Flat Sungai Emas di Hulu Langat yang membabitkan seramai 1,300 penduduk dan Kampung Haji Baki, Kuching, Sarawak, membabitkan 532 unit rumah terdiri 4,191 penduduk. KPD di ketiga-tiga kawasan ini bermula hari ini hingga 10 November depan. – Oleh HAIKA KHAZI