29 OKT: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima, Hajiji Noor, mengajak rakyat Sabah menghayati ajaran Nabi Muhammad SAW terutama untuk dijadikan contoh dalam menghadapi ujian COVID-19 sekarang.
Hajiji berkata, antara yang diingatkan oleh Rasulullah ialah perlunya menanam sifat sabar, bermuafakat dan berusaha serta bertawakal ke hadrat Allah ketika menghadapi masalah.
“Dalam menghadapi pendemik yang melanda seluruh dunia ini, kita tidak boleh panik apatah lagi saling mencari salah orang lain.
“Ikuti ajaran Nabi Muhammad mengenai semangat kerjasama dan tolong-menolong tanpa mengira bangsa dan agama.
“Patuhi segala peraturan dan arahan pihak berwajib di samping memberi sokongan, kerjasama, penghargaan dan semangat kepada petugas barisan hadapan dalam sektor kesihatan dan keselamatan,” katanya dalam perutusan khas sempena sambutan Maulidur Rasul yang dikeluarkan, hari ini.
Hajiji berkata, walaupun Maulidur Rasul kali ini tidak dapat disambut seperti lazimnya, semangat dan matlamat memperingati hari kelahiran Nabi Muhammad tetap boleh diterjemahkan dalam kehidupan norma baharu.
“Biarpun kali ini tiada perarakan dan perhimpunan kerana berdepan ujian COVID-19, objektifnya boleh dicapai dengan cara lain.
“COVID-19 turut mengajar kita betapa pentingnya menjaga kebersihan diri, rumah kita dan lingkungan persekitaran kita.
“Prosedur operasi standard (SOP) seperti kerap membasuh tangan dan menjaga kebersihan diri sebenarnya adalah terjemahan daripada ajaran Rasulullah yang perlu kita hayati dan amalkan,” katanya.