28 OKT: Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, menafikan dakwaan sebuah akhbar berbahasa Cina yang mengaitkan beliau sebagai salah seorang calon Timbalan Perdana Menteri.
Hishammuddin yang juga Menteri Luar, berkata beliau tidak pernah mengadakan usaha ke arah meletakkan dirinya sebagai salah seorang calon Timbalan Perdana.
Ahli Parlimen Semberong itu menegaskan, perkara paling penting bagi UMNO dan kerajaan sekarang adalah pembentangan Belanjawan 2021 dan pengurusan krisis COVID-19.
“Merujuk artikel Sin Chew Daily yang mengaitkan saya sebagai salah seorang calon Timbalan Perdana Menteri sekaligus mengundang pelbagai persoalan dan reaksi – saya ingin menyatakan bahawa saya tidak pernah mengadakan usaha ke arah perkara tersebut. Malah saya berterima kasih kepada parti kerana menyokong saya mewakili UMNO sebagai Menteri dalam Kerajaan hari ini.
“Saya percaya, perkara terpenting yang menjadi fokus Kerajaan dan UMNO sekarang ialah sidang Parlimen, Belanjawan 2021 dan mengurus krisis COVID-19, bukan soal jawatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.
Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata pendirian berkenaan selari dengan kenyataan media Presiden UMNO dan keputusan Majlis Tertinggi UMNO tempoh hari iaitu menyahut seruan Baginda Yang di-Pertuan Agong agar semua pihak berhenti berpolitik seterusnya bersatu memerangi COVID-19.
“Apa jua pendirian dan keputusan adalah demi kepentingan parti – dulu, kini dan selamanya,” katanya.
Sebelum ini sebuah portal berita melaporkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin didakwa sedang menunggu UMNO mencalonkan pemimpin parti itu yang dianggap boleh diterima untuk dilantik sebagai timbalan perdana menteri, lapor sebuah laporan media hari ini.
Memetik sumber yang tidak didedahkan, Sin Chew Daily mendakwa presiden Bersatu itu bersedia melantik seorang wakil Umno ke jawatan berkenaan dan terserah kepada parti terbabit mengemukakan calon.
Bagaimanapun kata sumber berkenaan Muhyiddin, tidak dapat menerima Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, sebagai timbalannya kerana ahli parlimen Bagan Datuk itu masih dibicarakan di mahkamah.
“Tan Sri (Muhyiddin) boleh terima Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atau Hishammuddin yang kini tiada sebarang jawatan dalam parti.
“Sekarang (Muhyiddin) cuma menunggu cadangan Umno, tapi jika mereka bertegas mahukan Zahid, maaflah,” katanya.