29 OKT: Ahli-ahli Parlimen dari semua parti diseru bersama UMNO bagi memberikan sokongan padu kepada Belanjawan 2021 dengan semangat keikhlasan yang sama bagi meletakkan kepentingan rakyat di hadapan.
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, ini harus menjadi keutamaan semua ahli politik khususnya dalam senario pandemik Covid-19 yang masih menular pantas di negara ini.
Menurut beliau, sokongan ini, selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah demi kesejahteraan rakyat serta pemulihan ekonomi negara.
“Kebijaksanaan Seri Paduka Baginda Tuanku dalam bertitah agar semua ahli politik bersatu untuk meluluskan Belanjawan 2021 menunjukkan bahawa institusi raja sentiasa mengutamakan denyut nadi rakyat.
“Atas kesedaran tersebut jugalah Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang dipengerusikan oleh Presiden UMNO pada hari Isnin telah memutuskan agar semua Ahli Parlimen UMNO memberikan sokongan kepada kerajaan selaras dengan titah Tuanku untuk meredakan suhu politik,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, hari ini.
Terdahulu, Al-Sultan Abdullah menitahkan kepada Ahli-ahli Parlimen supaya memberikan sokongan padu kepada Belanjawan 2021 demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Selangor berkata, Al-Sultan Abdullah bertitah, Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Parlimen dalam masa terdekat adalah amat penting kepada kerajaan dan pihak berkuasa khususnya petugas barisan hadapan, meneruskan dan melancarkan dasar serta usaha membendung dan menangani ancaman wabak COVID-19 daripada terus merebak.
Dalam pada itu, Shahril mengharapkan agar rakyat Malaysia sentiasa mendoakan agar Seri Paduka Baginda diberikan kesihatan, kesejahteraan dan kemakmuran yang berpanjangan serta sentiasa diberkati Allah. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH