29 OKT: Pakatan Harapan (PH) sedia mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung Belanjawan 2021 sebelum ia dibentangkan di Sidang Dewan Rakyat, 6 November ini.
Majlis Presiden Pakatan Harapan (MPPH) dalam satu kenyataan memaklumkan, mesyuarat hari ini mengambil maklum titah dan nasihat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kepada semua Ahli Parlimen supaya memberi sokongan kepada Belanjawan 2021 demi kelangsungan kesejahteraan rakyat dan pemulihan ekonomi negara.
“Atas sebab-sebab ini MPPH amat bersetuju dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa amatlah penting dan serius untuk Belanjawan 2021 ini dirundingkan dengan pembangkang sebelum dibentang di Parlimen.
“Maka Perdana Menteri harus menjunjung titah Seri Paduka dengan mengadakan perbincangan dan rundingan segera dengan pihak pembangkang berkenaan isi kandungan Belanjawan 2021 sebelum ia dibentangkan di Parlimen pada 6 November, supaya ia dapat mencapai objektif yang diingini Seri Paduka,” kata kenyataan itu.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat MPPH di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, sebentar tadi.
Dalam pada itu, MPPH juga berharap Belanjawan 2021 memberi fokus kepada keperluan petugas barisan hadapan yang menjadi benteng rakyat Malaysia dari wabak Covid-19.
“Ia juga perlu menetapkan hala tuju yang mampu memastikan Malaysia akan terus maju sewaktu dan selepas pandemik – termasuk dengan mengenal pasti strategi-strategi pembangunan baharu untuk ekonomi serta membantu jutaan rakyat Malaysia yang terkesan sama ada akibat kehilangan pekerjaan mahupun pendapatan pada tahun 2020 ini.
“Berjuta-juta rakyat Malaysia yang berada pada atau di bawah paras kemiskinan amat mengharapkan bantuan melalui belanjawan ini. Golongan yang tidak harus ketinggalan juga adalah yang mengharapkan moratorium pinjaman dilanjutkan,” ujar kenyataan itu.
Sebelum ini media melaporkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan kepada Ahli-ahli Parlimen supaya memberikan sokongan padu kepada Belanjawan 2021 demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Selangor berkata, Al-Sultan Abdullah bertitah, Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Parlimen dalam masa terdekat adalah amat penting kepada kerajaan dan pihak berkuasa khususnya petugas barisan hadapan, meneruskan dan melancarkan dasar serta usaha membendung dan menangani ancaman wabak COVID-19 daripada terus merebak.
Mengulas lanjut MPPH berkata, Belanjawan 2021 perlu memberi fokus kepada keperluan petugas barisan hadapan yang menjadi benteng rakyat Malaysia dari wabak COVID-19.
Katanya, Belanjawan 2021 perlu memberi fokus kepada keperluan petugas barisan hadapan yang menjadi benteng rakyat Malaysia dari wabak Covid-19. Ia juga perlu menetapkan hala tuju yang mampu memastikan Malaysia akan terus maju sewaktu dan selepas pandemik.
“Ia termasuk dengan mengenalpasti strategi-strategi pembangunan baharu untuk ekonomi serta membantu jutaan rakyat Malaysia yang terkesan sama ada akibat kehilangan pekerjaan mahupun pendapatan pada tahun 2020 ini.
“Berjuta-juta rakyat Malaysia yang berada pada atau di bawah paras kemiskinan amat mengharapkan bantuan melalui belanjawan ini. Golongan yang tidak harus ketinggalan juga adalah yang mengharapkan moratorium pinjaman dilanjutkan,” katanya.
Dalam pada itu, MPPH turut menjunjung kasih titah Al-Sultan Abdullah sebelum ini
yang berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk Seri Paduka mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata, kendatipun begitu, Seri Paduka ingin mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala politiking yang boleh menggangu kestabilan pemerintahan negara.
Menurut Ahmad Fadil, Al-Sultan Abdullah turut berpendapat bahawa tiada perlunya Ahli-ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan kerajaan sedia ada.