30 OKT: Berikutan penularan COVID-19 yang masih berlarutan, Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) mengambil keputusan untuk menghentikan operasi semua panggung wayang di seluruh negara buat sementara waktu bermula November ini.
MAFE dalam satu kenyataan berkata, penutupan itu adalah keputusan yang diambil selepas melihat kesan daripada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di beberapa negeri menyebabkan panggung wayang terpaksa ditutup selain jumlah filem yang sedikit.
“Bermula November ini, semua panggung wayang secara progresif akan menghentikan tayangan filem serta operasi mereka. Bagaimanapun, ia bergantung kepada perubahan keadaan semasa dan juga perkembangan keadaan pasaran,” katanya.
Industri panggung wayang Malaysia jatuh merudum akibat pandemik Covid-19 dan berdepan kerugian besar. Pada masa sama, pihak panggung wayang terpaksa mengeluarkan belanja besar untuk membekalkan peralatan mengikut prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan keselamatan penonton.
“Panggung wayang di Malaysia mendapat bantuan kerajaan dalam tempoh yang mencabar ini. Sekiranya industri ini jatuh, ia secara tak langsung akan mengganggu ekosistem hiburan tanah air kerana pembabitan banyak pihak termasuklah pelakon, pemasaran, kru filem dan ramai lagi.
“Beberapa bulan akan datang tentunya akan menjadi tempoh yang lebih kritikal. Namun, kami optimis dan untuk melihat masa depan yang cerah untuk industri panggung wayang kembali mendapat tempat,” katanya.