30 OKT: Sebanyak 376 institusi pendidikan di seluruh Johor Bahru ditutup selama 14 hari bermula Ahad ini susulan peningkatan kes positif Covid-19 di daerah itu yang disahkan sebagai zon merah oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan, keputusan itu adalah selaras dengan perutusan khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 6 Oktober lalu berhubung keputusan kerajaan untuk menutup sekolah di kawasan disahkan zon merah oleh KKM.
“Jumlah itu merangkumi sekolah rendah dan menengah di bawah KPM, Institusi Pendidikan Guru serta sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM. Sekolah dan institusi yang mempunyai asrama juga ditutup.
“Senarai institusi pendidikan yang ditutup di daerah Johor Bahru dilampirkan bersama-sama untuk rujukan ibu bapa, penjaga serta warga sekolah dan institusi terbabit.
“Untuk makluman juga, senarai ini akan dikemaskini dari semasa ke semasa dan akan dimuat naik di portal KPM di www.moe.gov.my dan di platform media sosial rasmi KPM,” kata KKM dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, ibu bapa atau penjaga perlu mengambil murid atau pelajar yang tinggal di asrama sekolah atau institusi untuk pulang.
“Bagaimanapun, murid atau pelajar yang menunggu untuk diambil ibu bapa serta murid atau pelajar yang ingin terus kekal berada di asrama sekolah dan institusi berkaitan sepanjang tempoh penutupan akan berada di bawah penjagaan warden asrama.
“Keperluan makan dan minum murid serta pelajar sepanjang tempoh itu akan disediakan pihak sekolah dan institusi berkenaan.
“Bagi murid-murid yang perlu menduduki peperiksaan antarabangsa seperti yang dijadualkan sepanjang tempoh penutupan institusi pendidikan, mereka perlu mendapatkan surat dari sekolah masing-masing untuk menghadiri peperiksaan,” jelasnya.
Kenyataan itu memaklumkan sepanjang tempoh penutupan itu, pentadbir sekolah serta semua institusi pendidikan diarah untuk memastikan guru-guru, tenaga pengajar serta murid dan pelajar melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah.
“Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM www.moe.gov.my.
“KPM sentiasa memantau situasi di seluruh negara serta sentiasa bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM. Sebarang pemakluman berhubung penutupan sekolah dan institusi akan dibuat dari semasa ke semasa,” katanya.