31 OKT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 456 individu atas kesalahan melanggar dan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), semalam.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kesemua mereka yang ditahan itu telah dikenakan kompaun.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuklah tidak memakai pelitup muka (174), penjarakan fizikal (74), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (72), aktivti pusat hiburan (34), dan lain-lain (102),” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri memberitahu, seramai 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta dua tekong berjaya ditahan di samping dua kenderaan berat berjaya dirampas dalam Op Benteng semalam.
Tegas beliau, pihak berkuasa juga telah membuat 298 Sekatan Jalan Raya (SJR) bagi mengekang kemasukan PATI terutamanya di lorong-lorong tikus.
Sementara itu, Ismail Sabri mengesahkan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi.
Tambah beliau, sejak semalam Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 651 premis perniagaan termasuk peruncit (484), pemborong (138) dan pengilang (29).
“Secara keseluruhan, pegawai penguat kuasa KPDNHEP juga telah melakukan 1,708 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP dan mendapati 1,699 premis mematuhi SOP yang telah
ditetapkan manakala sembila premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH