31 OKT: Sebanyak 659 kes baharu dilaporkan setakat jam 12 tengah hari tadi sekali gus menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 31,548 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pada masa yang sama, tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan hari ini justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 249 kes atau 0.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Beliau turut memaklumkan bahawa tiada pertambahan kluster baharu pada hari ini, justeru jumlah kluster aktif adalah kekal 133 kluster dengan jumlah kluster tamat adalah 114 kluster.
“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 10,051 kes,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Dr Noor Hisham menambah, Sabah mencatatkan sebanyak 529 kes (80.3 peratus) dan negeri-negeri di Lembah Klang pula mencatatkan 70 kes (10.6 peratus) daripada jumlah keseluruhan kes.
Beliau memberitahu, keempat-empat negeri tersebut telah menyumbang sebanyak 599 kes (90.9 peratus) daripada jumlah harian kes positif COVID-19 secara keseluruhan dan kesemuanya masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Untuk makluman juga, sebanyak 137 kes (20.8 peratus daripada jumlah keseluruhan) berkaitan kluster-kluster penjara dan pusat tahanan sementara dilaporkan pada hari ini yang terdiri daripada Kluster Penjara Kepayan (26 kes) dan Kluster Rumah Merah (111 kes),” jelasnya.
Dr Noor Hisham berkata, daripada 659 kes baharu pada hari ini, terdapat satu kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara iaitu Bangladesh yang melibatkan bukan warganegara.
Perincian kes penularan COVID-19 dalam negara adalah Sabah 529 kes, Selangor 55 kes, Negeri Sembilan 25 kes, Labuan 12 kes, Kuala Lumpur 11 kes, Sarawak 9 kes, Perak 6 kes, Putrajaya 4 kes, Kedah, Pulau Pinang dan Terengganu masing-masing dua kes manakala Pahang dan Kelantan masing-masing satu kes.
“Sehingga kini, terdapat 83 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 19 kes memerlukan bantuan,” katanya.
Beliau memberitahu, sebanyak 1,000 kes pulih dicatatkan hari ini iaitu yang tertinggi di Malaysia setakat ini.
“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah 21,248 kes iaitu 67.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN