31 OKT: Kerajaan Malaysia menyatakan simpati dan takziah kepada Turki serta Greece dan rakyat kedua-dua negara ekoran kejadian gempa bumi di Laut Aegean yang menyebabkan ramai yang terkorban dan cedera semalam.
Media melaporkan sekurang-kurangnya 23 mangsa terbunuh dalam gempa bumi di Izmir, Turki manakala dua orang terkorban di Pulau Samos, Greece.
Kira-kira 800 mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian di kedua-dua lokasi berkenaan berikutan gempa bumi dengan kekuatan 7.0 skala Richter.
Wisma Putra dalam satu kenyataan awal pagi tadi berkata, Malaysia bersolidariti dengan mereka dalam keadaan yang sukar ini.
“Berdasarkan laporan awal, sejumlah rakyat Malaysia di Izmir dalam keadaan selamat dan tiada lagi rakyat Malaysia yang menerima kesan secara langsung akibat gempa bumi ini,” jelas Wisma Putra.
Rakyat Malaysia yang berada di Turki diminta menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Ankara atau Pejabat Konsul Jeneral di Istanbul manakala mereka yang berada di Greece boleh berbuat demikian dengan menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Bucharest.
Kedutaan Malaysia di Ankara boleh dihubungi melalui talian +90 3124463547/ 48 atau faks +90 3124464130 dan e-mel kepada mwankara@kln.gov.my manakala Pejabat Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul boleh dihubungi pada talian +90 212 3261956/ +90 536 2896788/ +90 552 7970509 atau e-mel mwistanbul@kln.gov.my.
Mereka yang berada di Greece boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Bucharest di talian+40 21 2113801/3802 atau faksimili +40 21 210 0270 dan e-mel di mwbucharest@kln.gov.my. – Oleh HUSSAINI AMRAN