31 OKT: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh mewujudkan unit kesihatan bagi melakukan kajian teliti terhadap garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat jika pilihan raya terpaksa dilaksanakan.
Penganalisis politik, Prof Madya Dr Kartini Aboo Talib berkata, langkah ini perlu dilaksanakan bagi memastikan orang ramai tidak takut dan mampu memberi keyakinan kepada rakyat bahawa pilihan raya sememangnya boleh diadakan ketika pandemik COVID-19.
“Pada saya protokol, garis panduan perlu diperketatkan dan penegasan yang sempurna. SPR boleh buat garis panduan yang mewajibkan orang ramai mematuhi perubahan struktur yang akan dilaksanakan oleh SPR sendiri.
“Jika suasana baharu ini mahu kita berubah, perlunya SPR adakan unit kesihatan mereka sendiri yang amat bersesuaian ketika ini mengikut konteks yang sangat mendesak waktu ini demi memastikan kelestarian kehidupan manusia,” katanya ketika dihubungi PN BBC Portal, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berpandangan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak boleh ditangguhkan sekiranya darurat diisytiharkan di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan berikutan situasi kes COVID-19 yang naik mendadak.
Dalam pada itu, Kartini yang juga Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memberitahu, kerajaan seharusnya mengkaji kaedah dan garis panduan pilihan raya yang bukan konvensional bagi mencegah penularan COVID-19 daripada berlaku.
Menurut beliau, semua pihak perlu menjadikan Pilihanraya Negeri (PRN) Sabah sebagai pengajaran agar tidak leka dan sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menghidari wabak COVID-19.
“PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini dan Slim membuktikan kita mampu melakukan pilihan raya ketika musim COVID-19 namun disebabkan orang mula rasa selesa, ramai saya lihat sudah mula tidak mematuhi peraturan ketika berkempen di Sabah.
“Ramai saya lihat orang tidak menjaga penjarakan sosial, tidak memakai pelitup muka dan bersalaman dan inilah sebenarnya buat keadaan menjadi tidak terkawal selepas PRN Sabah. Jadi, apa yang berlaku di Sabah perlu dijadikan pengajaran agar kita tidak boleh terleka dengan SOP ini ketika suasana COVID-19 masih aktif di negara kita,” katanya.
Kartini berharap agar masyarakat perlu menerima hakikat bahawa seluruh dunia sedang menghadapi wabak COVID-19 dan seharusnya belajar menerima kehidupan norma baharu termasuk jika mengadakan pilihanraya dalam masa terdekat.
“Walaupun COVID-19 pertama kali dihadapi seluruh dunia dan evolusi kehidupan itu kita telah ada banyak pandemik seperti wabak bubonic dan selesema Sepanyol dan kita kena terima hakikat kita kena hidup dalam era COVID-19 maka tak semua benda harus dikatakan tertangguh seperti darurat.
“Kalau kita lihat bagaimana manusia berevolusi terhadap penyakit selesema Sepanyol sehinggakan kini selesema Sepanyol wajib dilakukan ketika saringan kesihatan dan akhirnya penyakit yang mengorbaan jutaan orang itu telah mempunyai vaksin dan manusia akhirnya ada perubahan struktur baharu dalam kehidupan manusia,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH