31 OKT: Sebanyak 4.7 juta akaun simpanan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) telah dibuka dengan deposit berjumlah RM6.87 bilion sejak ia dilancarkan pada 2004 hingga 30 September lalu.
Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan berkata, tahun ini, sebanyak 329,465 akaun baharu telah dibuka setakat September lalu berbanding sasara sebanyak 268,000 akaun.
“Deposit yang diterima dalam tempoh sama adalah sebanyak RM983.21 juta iaitu 147.35 peratus melebihi sasaran iaitu sebanyak RM397.5 juta.
“Untuk tahun ini, PTPTN sasarkan jumlah simpanan yang agak tinggi iaitu RM1.5 bilion dengan 400,000 akaun baharu… sasaran ini ditetapkan berasaskan pencapaian positif pada 2019 dengan pelbagai langkah proaktif yang terus dilaksanakan,” katanya dalam Majlis Penutup Bulan Menabung SSPN 2020 dan Sambutan Hari Tabungan Sedunia yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Rasmi PTPTNOfficial, hari ini.
Beliau menambah, PTPTN juga menyasarkan sejumlah RM110 juta deposit sepanjang Bulan Menabung SSPN 2020 yang berlangsung pada bulan ini dan sehingga 28 Oktober lalu, jumlah deposit yang telah diterima adalah sebanyak RM147.67 juta atau 134.24 peratus sekali gus mencatat rekod melebihi sasaran bagi tempoh tersebut.
Wan Saiful memberitahu, peningkatan jumlah simpanan dan bilangan akaun SSPN yang dibuka dari tahun ke tahun jelas menunjukkan semakin ramai rakyat Malaysia yang mula sedar untuk membuat perancangan kewangan pendidikan anak-anak.
“PTPTN sebagai tabung pendidikan akan terus melipatgandakan usaha untuk mengubah paradigma masyarakat daripada budaya berhutang kepada budaya menyimpan,” jelasnya.