1 NOV: Penternakan arnab daging mempunyai potensi besar untuk diterokai usahawan muda berikutan permintaan yang tinggi untuk daging haiwan itu di seluruh negara.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, pihaknya memang memberi galakan tinggi kepada usahawan muda yang berminat kerana bidang ini mempunyai pelbagai kelebihan termasuk kos operasi lebih rendah.
“Sejak akhir-akhir ini, permintaan terhadap daging arnab semakin meningkat dan ia mampu menjadi alternatif kepada sumber protein selain lembu dan kambing.
“Penternakan arnab mempunyai pelbagai kelebihan termasuk pusingan ternakan yang singkat, kos operasi lebih rendah dan memberi pulangan yang cepat dan lumayan,” katanya.
Che Abdullah berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Sempena Seminar Potensi Industri Arnab Pedaging dan Fertigasi Moden Untuk Usahawan Muda di Peladang Setiu Agro Resort malam tadi.
Tambah Ahli Parlimen Tumpat itu, populasi terkini arnab di negara ini dianggarkan berjumlah 33,701 ekor meliputi arnab pedaging dan haiwan kesayangan.
“Pengeluaran daging arnab secara purata ialah sebanyak 1,000 kilogram (kg) sebulan dengan harga jualan RM35 sekilogram. Berat arnab biasanya antara 1kg hingga 1.6kg seekor dan arnab sudah boleh disembelih pada umur 60 hingga 90 hari,” katanya.