1 NOV: Pusat panggilan Talian Kasih 15999 kembali menjadi perhatian masyarakat sejak gelombang ketiga COVID-19 bermula September lalu dengan aduan-aduan yang diterima banyak berkaitan soal kewangan termasuk moratorium dan keperluan seharian keluarga.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, terdapat peningkatan sekali ganda daripada 6,770 panggilan bagi tempoh itu kepada 12,240 panggilan yang direkodkan, bulan lepas.
Bagaimanapun Rina berkata, walaupun terdapat peningkatan panggilan menerusi Talian Kasih pada September lepas, ia tidak sebanyak seperti direkodkan ketika gelombang pertama COVID-19 melanda negara pada Mac lalu.
Menurut Ahli Parlimen Titiwangsa itu, panggilan tertinggi direkodkan ialah pada April dengan 55,129 panggilan kerana pada ketika itu ramai orang panik dengan situasi pandemik yang baru melanda negara.
“Kali pertama (April 2020) banyak terima panggilan sebanyak 55,129 iaitu 23,767 menerusi telefon dan 31,362 melalui WhatsApp.
“Sekarang ada peningkatan namun sedikit berbanding gelombang pertama COVID-19 dan kebanyakan aduan mengenai isu semasa, moratorium bayaran pinjaman, isu kewangan, keperluan anak-anak dan bagaimana menjana pendapatan kerana ada pasangan yang kehilangan kerja,” katanya di Putrajaya hari ini.
Rina berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Kembara Prihatin Negara 2020, bertujuan menyantuni rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19, selain menyebar luas perkhidmatan dan inisiatif yang sedang dilaksanakan kerajaan.
Ditanya kesukaran rakyat Sabah mendapatkan bantuan termasuk bakul makanan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Rina berkata bantuan bakul makanan adalah berdasarkan kepada permohonan dan ia disalurkan kepada tempat dan mereka yang memerlukan.
Beliau berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menyemak aduan individu yang tidak mendapat bakul makanan dari semasa ke semasa, selain itu banyak peruntukan yang telah disalurkan bukan sahaja daripada peringkat pusat malah kerajaan negeri ekoran ramai rakyat terjejas susulan COVID-19.