1 NOV: Universiti Malaya (UM) menjalankan siasatan segera berhubung satu hantaran bertajuk “Yang di-Pertuan Agong tidak sepatutnya campur tangan dalam hal ehwal negara” yang dimuat naik Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya (UMANY) menerusi laman Facebook.
Menurut kenyataan Pejabat Komunikasi Korporat UM hari ini, universiti itu memandang serius kenyataan badan pelajar berdaftar berkenaan.
“Ditegaskan di sini bahawa UM menjunjung dan menghormati institusi beraja.
“Oleh yang demikian, pengurusan tertinggi universiti mengutuk sebarang kenyataan yang melanggar atau bertentangan dengan prinsip tersebut.
“Sehubungan dengan itu, UM akan menjalankan siasatan lanjut mengenai perkara ini dengan segera,” demikian menurut kenyataan itu.
Hantaran badan pelajar yang dikaitkan dengan sebuah parti politik itu menjadi perhatian ramai kerana dianggap biadab dan tidak selari dengan aspirasi rakyat negara ini yang mendaulatkan institusi raja.