2 NOV: Lebih 6,600 cadangan telah diterima daripada sesi konsultasi Belanjawan 2021 bersama parti politik dan juga melalui lawan sesawang Belanjawan 2021 sehingga hari ini.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ini termasuk lebih 170 cadangan yang telah diterima susulan perjumpaan bersama ahli politik.
“Secara amnya, cadangan tertumpu kepada sokongan dan bantuan yang diperlukan untuk mengatasi kesan-kesan COVID-19 menjelang tahun 2021.
“Antara sektor dengan cadangan tertinggi termasuklah kesihatan, sokongan pekerjaan, pendidikan dan industri PKS.
“Kementerian sedang memperhalusi kesemua cadangan untuk disertakan dalam Belanjawan 2021 yang bakal diumumkan pada Jumaat, 6 November ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tengku Zafrul berkata sesi konsultasi bersama parti politik adalah kesinambungan kepada usaha penyediaan Belanjawan 2021 yang inklusif dan komprehensif.
Katanya sejak Julai, lebih 40 sesi konsultasi telah diadakan melibatkan lebih 2,000 individu dan wakil perniagaan.
“Ini termasuk sesi turun padang ke setiap negeri buat kali pertamanya dalam sejarah kementerian untuk mendekati rakyat dan perniagaan yang terkesan akibat pandemik COVID-19,” katanya.
Beliau berkata konsultasi Belanjawan 2021 bersama wakil-wakil daripada parti-parti politik negara iaitu UMNO, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Pas, MCA, Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan Pakatan Harapan (PH).
“Saya ingin berterima kasih kepada semua pihak berkepentingan – rakyat, perniagaan, pertubuhan bukan kerajaan serta sektor awam dan swasta – yang terlibat dalam proses konsultasi ini,” katanya.