2 NOV: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan mempertimbangkan dana awal sebanyak RM6 juta untuk projek Pusat Pemperosesan Getah Berkelompok.
Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, dana itu bakal disalurkan melalui Majlis Getah Malaysia (MRC) yang akan bekerjasama dengan Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk melaksanakan projek tersebut.
“KPPK menyarankan agar pekebun kecil yang berminat untuk menyertai projek ini menubuhkan koperasi getah di kawasan masing-masing.
“Ia sebagai persediaan awal seperti mana dirancang untuk pelaksanaan sepenuhnya pada tahun 2021,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau juga percaya projek berkenaan yang menumpukan kepada pakej teknologi pemprosesan getah krip dan serum getah bersepadu yang dibangunkan oleg LGM mampu meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah di negara ini.
Menurut Mohd Khairuddin, pengenalan Pusat Pemprosesan Getah Berkelompok kepada sektor huluan industri getah dilihat dapat membantu pekebun kecil dalam memasarkan hasil pengeluaran getah mereka dengan harga yang berpatutan.
“Ini merupakan komitmen saya dan KPPK untuk memastikan pekebun kecil getah memperoleh harga yang sewajarnya dan meraih pendapatan yang setimpal dengan usaha mereka,” jelasnya.
Beliau menambah, melalui projek ini, rantaian nilai bersepadu bekalan getah berskala komersial dengan elemen pemprosesan berkelompok (kluster) dan perkongsian keuntungan akan dilaksanakan pada peringkat pekebun kecil, koperasi dan juga usahawan.
Mohd Khairuddin memberitahu, usaha itu akan meningkatkan kualiti getah yang dihasilkan, meningkatkan pendapatan dan seterusnya menjamin bekalan getah berkualiti kepada industri pembuatan produk getah negara.
“Ini seterusnya akan dapat mengekalkan daya saing industri getah sebagai peneraju pengeluar getah dan produk getah berkualiti di peringkat global,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN