2 NOV: Sebanyak enam kes positif Covid-19 dikesan hari ini melibatkan dalam kalangan mereka yang mempunyai kaitan tugas di bangunan Parlimen.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, enam kes tersebut melibatkan seorang petugas media, seorang pembantu Ahli Dewan Negara dan empat anggota polis bantuan di Parlimen.
Sehubungan itu, katanya, apabila terdapat kes positif maka persidangan Parlimen yang lebih lama akan menyebabkan mereka yang berada di dalam bangunan itu berdepan risiko jangkitan COVID-19 lebih tinggi.
“Sekiranya terdapat kes positif, maka risiko kebolehjangkitan adalah lebih tinggi. Kami berharap mereka yang menghadiri sesi Parlimen akan mematuhi SOP (prosedur operasi standard) kerana pematuhannya amat penting.
“Hari ini kita dapat kesan seorang polis bantuan disahkan positif dan menerusi kontak rapat, tiga rakan sekerjanya dan isterinya juga positif.
“Seorang lagi petugas media juga positif. Kita sedang menjalankan saringan kepada keluarga, tujuh daripada mereka, tetapi belum dapat keputusan. Pembantu Senator juga positif. Kita dah kenal pasti 12 (kontak rapat), kita juga dah arahkan mereka untuk kuarantin,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.
Semua ahli Parlimen dan kakitangan diwajibkan untuk melakukan ujian saringan Covid-19 tiga hari sebelum persidangan bermula.
Hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hasan memaklumkan beberapa kakitangan Dewan Negara telah disahkan positif wabak tersebut.
Sehubungan itu, beliau mengemukakan usul agar sesi persidangan Dewan Rakyat hari ini ditamatkan pada jam satu tengah hari.
Takiyuddin berkata, cadangan itu juga diusulkan selepas Dr Noor Hisham memaklumkan risiko amat tinggi jika persidangan berlangsung dalam tempoh lama.
Noor Hisham mengulangi kenyataan itu pada sidang media hari ini dan berkata nasihat kementerian secara umum adalah agar semua pihak mengelakkan kawasan sesak, terutama di kawasan yang terdapat kes positif kerana risiko jangkitan yang tinggi.