2 NOV: Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam ditahan polis di restoran miliknya berhampiran Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur kira-kira jam 11 malam tadi.
Pada minit-minit akhir video berdurasi 28 minit yang dirakamkan beliau, Lokman dilihat sedang melihat kamera dan mengatakan bahawa beberapa pegawai polis datang menghampirinya.
Sebelum rakaman itu berakhir, Lokman sempat meminta bantuan peguam untuk membantunya yang ditahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Tidak lama kemudian, Lokman dilihat memuat naik satu hantaran di Facebook yang mengesahkan beliau ditahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan berkaitan ugutan jenayah yang boleh dipenjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Beliau sebelum ini, bersiaran hampir setiap hari di Facebook miliknya termasuk mengkritik kerajaan dalam beberapa isu termasu mengenai cadangan darurat.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid, ketika dihubungi, mengesahkan penangkapan itu dan mengatakan polis akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu.