2 NOV: Dua pengarah sebuah syarikat akan didakwa berhubung kes pencemaran Sungai Gong, Rawang di Mahkamah Sesyen Selayang, esok.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, pertuduhan terhadap kedua-dua suspek itu dibuat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan kerana khianat sehingga menyebabkan bekalan air terputus bagi tujuan pertanian, makanan atau minuman kepada manusia dan haiwan atau dalam menjalankan sebarang pengeluaran.
Beliau berkata, enam pekerja syarikat terdiri daripada dua warga tempatan dan empat warga asing berumur 25 hingga 66 tahun, akan dipanggil sebagai saksi pendakwaan.
“Kedua-dua pengarah berumur 31 dan 61 tahun itu juga akan didakwa dengan pertuduhan tambahan di bawah Seksyen 25 (3) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Kertas siasatan berhubung kes berkenaan telah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Fadzil berkata, kes ini adalah yang kedua didakwa bagi kesalahan mencemar air sejak JSJ Selangor diberi tanggungjawab menyiasat isu tersebut pada September lepas.
Kesemua suspek ditahan kira-kira jam 11.30 pagi di Rawang, pada 21 Oktober lalu.
Pada 18 Oktober lalu, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Sungai Selangor Fasa 2, Sungai Selangor Fasa 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas susulan pencemaran dikesan pada jam 2 pagi.
Susulan itu, lebih 1.19 juta akaun pengguna di 1,292 kawasan sekitar wilayah Kuala Lumpur, Shah Alam/Klang, Kuala Langat, Petaling, Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Selangor mengalami gangguan bekalan air.
Hasil siasatan awal mendapati bau yang dikesan berakhir di alur air Sungai Gong, Rawang yang disyaki bermula dari sebuah syarikat membaiki dan menjual jentera jentera pembinaan.
Sebelum ini, kes pencemaran Sungai Gong pada awal September lepas menyebabkan kira-kira lima juta pengguna di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.
Media sebelum ini melaporkan pihak berkuasa mengenal pasti sebuah premis sebagai punca pencemaran sehingga menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Selangor dihenti tugas.