2 NOV: Dewan Rakyat hari ini bersetuju bahawa sidang harian pada minggu ini akan berlangsung dari jam 10 pagi hingga 1 tengah hari sahaja, kecuali pada Jumaat apabila Belanjawan 2021 dibentangkan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) selepas beberapa kakitangan dan Ahli Dewan Negara disahkan positif COVID-19 atau dikenal pasti sebagai kontak rapat.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, usul penangguhan sidang Dewan Rakyat itu dibuat berdasarkan Peraturan 12 (1), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Beliau yang juga Ahli Parlimen PAS Kota Bharu berkata, usul berkenaan dikemukakan selepas mesyuarat tergempar diadakan oleh Yang di-Pertuan Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun bersama semua Ketua Whip yang mewakili semua parti politik dan wakil Ketua Pengarah Kesihatan tanpa sebarang prejudis, pada jam 10.30 pagi tadi.
Menurut Takiyuddin, tujuan utama usul berkenaan dibentangkan adalah bagi memastikan semua wakil rakyat dapat membincangkan perkara yang diberikan keutamaan dalam sidang kali ini iaitu COVID-19 dan Belanjawan 2021.
Beliau memberitahu, eputusan itu juga dibuat berdasarkan peningkatan kes positif COVID-19 yang kini mencecah 32,505 kes termasuk 249 kematian dan 957 kes baharu (97 dirawat di ICU dan 27 memerlukan alat bantuan pernafasan) akibat gelombang ketiga.
“Saya bukan doktor tetapi KKM mengeluarkan nasihat demikian kerana risiko yang kita hadapi amat tinggi jika kita duduk dalam tempat tertutup biarpun ada penghadang cermin dipasang antara Ahli Parlimen di Dewan Rakyat ini.
“Justeru, mesyuarat ambil satu ketetapan norma baharu berhubung persidangan berdasarkan faktor berkenaan dengan syarat apa-apa yang dilakukan tidak jejas hak Ahli Parlimen untuk bertanya dan berbahas.
“Kedua Parlimen akan kendali satu tatacara pentadbiran dengan mencatatkan kehadiran Ahli Parlimen ke dalam Dewan,” katanya ketika membentangkan usul berkenaan.
Usul tersebut diluluskan setelah undian suara mendapati lebih ramai Ahli Parlimen yang bersetuju. – Oleh HAIKA KHAZI