3 NOV: Tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Ng Suee Lim menegur pemakaian baju kebangsaan dalam kalangan beberapa ADUN pembangkang pada pembukaan sidang DUN semalam dilihat menghina kebudayaan nasional yang mengiktiraf baju Melayu sebagai baju kebangsaan.
Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, tidak sepatutnya baju kebangsaan atau baju Melayu dilarang dipakai semasa persidangan.
Beliau turut mempersoalkan kewajaran larangan tersebut di mana alasan tiada peraturan tentang pemakaian Ahli Dewan tidak boleh diterima.
“Kalau tidak ada peraturan, Speaker kena ikut common law, Dewan Rakyat ataupun Dewan Undangan Negeri lain yang benarkan pemakaian baju Melayu.
“Tindakan seperti ini satu penghinaan kepada kebudayaan nasional yang mengiktiraf baju Melayu sebagai baju Kebangsaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, hari ini.
Dalam pada itu, Noh yang merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor memberitahu, Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak pernah menghalang Ahli Parlimen Dugun yang memakai baju Melayu setiap hari Selasa di Parlimen sejak 2013.
“Alasan Speaker DUN Selangor daripada DAP tidak boleh diterima kerana tidak ada peraturan tentang pemakaian Ahli Dewan.
“Syabas dan tahniah kepada ADUN -ADUN UMNO dan Pas yang mempertahankan kebudayaan nasional,” katanya.
Semalam, Sidang DUN Selangor kecoh selepas Suee Lim menegur tindakan beberapa pemimpin pembangkang yang memakai baju kebangsaan yang dikatakan tidak mematuhi kod pemakaian yang ditetapkan.
Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang berkenaan adalah Datuk Mohd Shamsudin Lias (Sungai Burong); Zakaria Hanafi (Semenyih); Datuk Mohd Imran Tamrin (Sungai Panjang); Rizam Ismail (Sungai Air Tawar) dan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (Sijangkang).
DUN Selangor kembali ‘panas’ dengan isu tersebut hari ini setelah Suee Lim terus menegur beberapa wakil pembangkang melanggar etika pakaian pada sesi hari ini kerana masih memakai baju Melayu.
Beliau berkata, sepatutnya ADUN menghormati etika pemakaian yang dibenarkan dalam sesi persidangan.
“Semalam saya telah menegur beberapa ADUN mengenai etika pemakaian dan mereka berjanji akan mengikutinya, namun malangnya pada hari ini mereka mengingkari apa yang dijanjikan.
“Bukan sahaja dewan malah kepada media, jadi saya berharap agar semua patuh terhadap ketetapan dewan,” ujarnya yang meminta semua ADUN memakai lounge suit dengan kelonggaran memakai baju Melayu pada hari Jumaat. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH