3 NOV: Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang membentuk kerajaan negeri belum memutuskan tarikh untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) akan datang.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, perkara itu belum dibincangkan kerana kerajaan negeri sedang menumpukan usaha menangani penularan Covid-19.
“Setakat ini, Majlis Kepimpinan Tertinggi GPS tidak bermesyuarat bagi membincangkan mengenai PRN-12,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian susulan kenyataan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar baru-baru ini yang PRN-12 mungkin diadakan pada Januari atau Mac tahun depan walaupun negeri sedang berhadapan penularan Covid-19.
Alexander yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, GPS tidak merancang mengadakan PRN-12 dalam waktu terdekat kerana bimbang dengan penularan Covid-19.
“Kerajaan GPS sangat prihatin terhadap peningkatan jangkitan Covid-19 ketika ini dan dengan serius menangani COVID-19 demi keselamatan dan nyawa penduduk di Sarawak,” katanya.
Justeru, beliau berharap orang ramai bertenang dan menunggu pengumuman rasmi daripada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengenai tarikh PRN-12.