3 NOV: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenaL pasti dua lagi kluster COVID-19 hari ini melibatkan Negeri Sembilan dan beberapa daerah di Kedah dan Pulau Pinang.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster pertama ialah Kluster Cergas melibatkan daerah Seremban di Negeri Sembilan.
Katanya, kes indeks bagi kluster ini telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 29 Oktober.
“Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 11 lagi kes positif COVID-19. Kes-kes tersebut telah dimasukkan ke Hospital Rembau, Hospital Tampin dan Hospital Tuanku Ja’afar.
“Sehingga 12 tengah hari ini, sejumlah 144 individu telah disaring, di mana 12 kes dikesan positif COVID-19 dan enam individu masih menunggu keputusan,” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini.
Sementara itu, kata beliau, kluster kedua ialah Kluster Permatang melibatkan daerah Kulim di negeri Kedah serta daerah Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Utara dan Timur Laut di negeri Pulau Pinang.
“Kes indeks bagi kluster ini adalah kes Severe Acute Respiratory Infections (SARI) di sebuah pusat perubatan swasta dan telah dikenal pasti positif COVID-19 pada 31 Oktober 2020.
“Kes indeks kemudian dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Pulau Pinang. Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak tujuh (7) lagi kes positif COVID-19. Kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang.
“Sehingga 3 November 2020, 12 tengah hari, sejumlah 97 individu telah disaring, di mana lapan kes dikesan positif COVID-19, 74 individu dikesan negatif dan 15 individu masih menunggu keputusan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Noor Hisham memaklumkan, 36 kluster aktif melaporkan pertambahan kes hari ini dengan tertinggi melibatkan Kluster Rumah Merah di Kota Kinabalu dengan 229 kes dan ini diikuti Penjara Kepayan, 44 kes.
Katanya, selain itu, antara kluster yang terus melaporkan kes hari ini termasuk Kaya di Lembah Klang dan Melaka dengan 34 kes dan Saguking di Labuan, 33 kes.
“Kluster aktif di Selangor antaranya Hentian di Hulu Langat pula melaporkan pertambahan 26 kes menjadikan 258 kes keseluruhan dikesan dari kluster ini.
“Kluster Utama pula turut mencatatkan pertambahan dua kes. Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes daripada kluster ini sebanyak 248 kes,” katanya.
Pada sidang akhbar itu juga, Noor Hisham memaklumkan bahawa Kluster Batu telah tamat pada hari ini.
“Kluster ini melibatkan negeri Perak. Sehingga 3 November 2020, seramai 1,174 orang telah disaring. Daripada jumlah ini, tujuh kes dikesan positif COVID-19 dan baki 1,167 orang adalah negatif.
“Kadar positiviti bagi kluster ini adalah 0.6 peratus. Tiada kes kematian dilaporkan dalam kluster ini,” katanya. -Oleh M. HERMAN HAMID