3 NOV: Jabatan Penjara Malaysia bersama Kementerian Kesihatan (KKM) berjaya melaksanakan 63,730 saringan ke atas banduan, staf serta ahli keluarga dari semua institusi penjara seluruh negara sejak 1 September lalu hingga semalam.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Zulkifli Omar berkata, selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat KKM untuk merawat dan mengasingkan individu yang telah disahkan positif, Jabatan Penjara juga mengkuarantinkan semua banduan, staf dan ahli keluarga serta kontak rapat yang berpotensi untuk dijangkiti Covid-19.
“Pada 15 Oktober 2020 juga, arahan penangguhan penghantaran banduan kepada Jabatan Penjara oleh semua agensi penguatkuasaan telah dikeluarkan bagi mencegah penularan jangkitan COVID-19 melalui Banduan Reman (BR) atau Orang Kena Tahan (OKT).
“Berikutan strategi kuarantin dan lockdown terhadap tahanan reman serta banduan sabitan, situasi penularan Covid-19 dalam kalangan institusi penjara adalah semakin terkawal dengan catatan peningkatan kes harian yang rendah.
“Sehingga 2 November 2020, sebanyak 3,721 kes sembuh direkodkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Zulkifli, Jabatan Penjara bersyukur atas keputusan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam untuk tidak melanjutkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Tapah, Penjara Taiping, Pusat Koreksional Kamunting, Penjara Reman Sungai Buloh, Penjara Kajang, Penjara Wanita Kajang, Pusat Koreksional Puncak Alam, Penjara Sungai Petani dan Pusat Koreksional Perlis.
Ujar beliau, Jabatan Penjara mengucapkan terima kasih kepada KKM, Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta semua agensi penguatkuasaan yang telah terlibat dalam usaha mengekang penularan Covid-19 dalam penjara dan percaya perkembangan positif ini adalah petanda awal terhadap kejayaan bersama untuk melandaikan lengkungan jangkitan.
Beliau berkata, setinggi-tinggi penghargaan juga diberikan kepada seluruh kakitangan Jabatan Penjara atas komitmen dan kesetiaan dalam menjalankan tugas walaupun mereka sebenarnya turut berdepan dengan cabaran dijangkiti Covid-19.
“Walaupun situasi pada ketika ini adalah terkawal, Jabatan Penjara masih mengekalkan ketetapan untuk tidak membenarkan sebarang bentuk perjumpaan serta program yang melibatkan banduan.
“Kita akan terus menambah baik SOP bagi menerima, mengiring serta menguruskan banduan dari masa ke masa bagi mengelakkan masalah sama daripada berulang,” tegas beliau.