3 NOV: Seorang anggota polis bantuan yang didapati positif COVID-19 seperti dimaklumkan ketika sidang media Kementerian Kesihatan (KKM) semalam disahkan turut mempunyai tugasan khas di Parlimen.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan beliau turut mengesahkan keseluruhannya tiga kes dikesan membabitkan saringan berkaitan Parlimen.
Beliau memaklumkan, anggota polis bantuan terbabit bertugas di Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan turut mempunyai tugasan di Parlimen.
Mengulas lanjut, katanya ujian saringan terhadap semua yang terbabit dijalankan selama tiga hari sebelum sidang Parlimen bermula semalam.
“Semalam saya maklumkan ada tiga kes, tetapi dua kes itu adalah saringan iaitu seorang jurubahasa isyarat di Parlimen dan pembantu kepada seorang Senator yang didapati positif.
“Seorang polis bantuan yang berkhidmat di PMO juga disaring dan didapati positif. Beliau juga ada tugasan di Parlimen. Keseluruhannya ada tiga kes positif,” katanya ketika sidang media harian COVID-19, hari ini.
Jelas beliau, tiga rakan sekerja dan isteri polis bantuan berkenaan kemudian disahkan positif.
“Ada kluster baru dikenal pasti iaitu Kluster Seri Dana melibatkan lima kes positif dalam kalangan polis bantuan,” jelasnya.
Noor Hisham berkata, saringan tiga hari sebelum sidang Dewan Rakyat diadakan membabitkan ahli parlimen serta petugas dan mereka daripada kementerian lain yang akan bertugas di Parlimen.
“KKM juga cadangkan ujian berkala, bukan hanya tiga hari sebelum sidang Parlimen tetapi untuk setiap dua minggu.
“Kita juga telah ketatkan kehadiran di bangunan Parlimen dan sebolehnya urusan dijalankan secara sidang video.
“Walau ada saringan suhu, 60 hingga 70 peratus individu positif tidak bergejala. Ini yang kita bimbang, risiko memang ada tetapi kita akan lakukan penilaian risiko dan terus bekerjasama dengan agensi lain bagi mengelakkan jangkitan di Parlimen,” katanya.