3 NOV: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 381 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 372 individu telah dikompaun dan sembilan individu pula direman.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk tidak memakai pelitup muka (151), premis gagal menyediakan peralatan/merekod butiran pelanggan (66), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (37), parti tertutup (26), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (24), aktiviti pusat hiburan (9) dan kesalahan-kesalahan lain (68),” katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur hari ini.
Beliau memberitahu, sejak 1 Mei sehingga semalam, seramai 7,974 pendatang asing tanpa izin (PATI), 775 tekong dan 330 penyeludup telah ditahan manakala 217 bot/kapal dan 847 kenderaan berjaya dirampas oleh pasukan keselamatan menerusi Op Benteng.
“Semalam, Op Benteng telah berjaya menahan 46 PATI serta berjaya merampas empat kenderaan darat,” jelasnya.
Sementara itu, sebanyak 11,039 operasi sanitasi awam merangkumi 137 zon dilakukan di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 30 Mac lalu.
“Semalam, sebanyak 38 operasi sanitasi meliputi 15 Zon Merah, 10 Zon Kuning dan 2 Zon Hijau di 10 negeri,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, secara kumulatif, mulai 24 Julai sehingga 3 November lalu, seramai 59,966 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.
“Daripada jumlah itu, seramai 9,779 individu sedang menjalani kuarantin wajib di 65 Hotel dan 19 premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan.
“381 individu pula telah dibawa ke hospital untuk rawatan manakala 49,806 individu dibenarkan pulang ke rumah,” ujarnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN