3 NOV: Sut Peralatan Perlindungan Diri (PPE) yang digunakan oleh orang awam dikategorikan sebagai bahan buangan domestik dan tidak dikategorikan sebagai bahan buangan sisa klinikal seperti yang digunakan oleh petugaas barisan hadapan.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PPE yang digunakan oleh orang awam khususnya peniaga gunting rambut akan diuruskan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bidang kuasanya terletak di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“PPE ini ada dua kategori satu klinikal dan bukan klinikal dan apa digunakan orang awam tidak dikategorikan sebagai sisa buangan klinikal maka tiada keperluan untuk pengurusan pembuangan sisa klinikal dan diuruskan dengan cara domestik di bawah KPKT.
“Ada perbezaan disebabkan PPE digunakan hopital akan tingkatkan kos di samping mampu menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai. Kalau sisa buangan klinikal, kita perlu letak dalam plastik kuning dan ditag khusus supaya boleh dikendalikan dengan sempurna.
“Sehubungan itu, kementerian tak bercadang untuk semak kembali prosedur sedia ada kerana sudah cukup memadai dengan apa yang ada dalam memastikan sisa klinikal sahaja diurus dengan cara teratur manakaal sisa domestik diuruskan dengan cara biasa,” katanya dalam sesi waktu pertanyaan menteri sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen BN Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yang bertanya jika kementerian bercadang mengenakan syarat yang sama kepada pengguna awam yang menggunakan sut PPE.
Dalam pada itu, menjawab pertanyaan asal Jazlan mewujudkan tempat pembuangan sisa klinikal khas di setiap negeri sejak negara dilanda COVID-19 kerana terdapat peningkatan pembuangan sampah, Tuan Ibrahim memberitahu tempat tersebut telah ditetapkan kerajaan dan hanya boleh dilupuskan sisa tersebut di kawasan itu.
Tambahnya, ini dilaksanakan disebabkan pembuangan sisa klinikal di negara ini meningkat kepada 20 peratus dan perlu dilakukan secara teratur dan berjadual yang akan diuruskan oleh syarikat-syarikat konsensi yang telah dilantik kerajaan
“Buangan sisa klinikal perlu dilupuskan yang telah ditetapkan dan dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekiatar adalah menjadi kesalahan Seksyen 34 B Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 yang sekiranya seseorang melupuskan atau menempatkan di premis yang bukan ditetapkan.
“Jika sabit kesalahan mereka boleh dipenjara tidak lebih 5 tahun dan denda tidak melebihi RM500,000 namun buangan seperti plastik, pelitup muka yang digunakan oleh orang awam digunakan pelindungan diri adalah di bawah bidang kuasa PBT dan KPT,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH