3 NOV: Parlimen Malaysia mengesahkan hanya seorang pegawai khas kepada Ahli Dewan Negara dan seorang wakil media rasmi Parlimen yang disahkan positif COVID-19 setakat ini.
Ketua Pentadbirnya, Datuk Kamis Samin berkata, Parlimen Malaysia ingin menjelaskan keputusan itu diperoleh hasil ujian saringan COVID-19 dilakukan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) pada 28 dan 30 Oktober lalu.
Menurut beliau, ujian berkenaan membabitkan semua pegawai dan kakitangan serta polis bantuan bertugas di Parlimen.
“Hasil ujian berkenan menunjukkan semua kakitangan Parlimen negatif dan bebas jangkitan COVID-19.
“Walau bagaimanapun hasil ujian saringan berkenaan terdapat dua kes positif COVID-19 membabitkan seorang pegawai khas kepada seorang Senator Dewan Negara dan seorang petugas media rasmi. Kedua-dua kes berkenaan juga sudah diambil tindakan oleh KKM sejurus keputusan ujian saringan berkenaan diperoleh,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Kamis berkata, pihak Parlimen juga sudah membuat pelbagai usaha sewajarnya untuk mengekang penularan wabak COVID-19 bagi memastikan persidangan dan pembentangan Belanjawan 2021 Jumaat ini. – Oleh HAIKA KHAZI